Saturday, September 12, 2009

Mengapa Manusia Bermasalah?

Faktor Persekitaran

Dalam menjalani kehidupan harian, setiap individu tidak terlepas daripada mengalami masalah sama ada berpunca daripada diri sendiri mahupun persekitaran. Dalam hal ini, tedapat lima faktor yang menjawab persoalan Mengapa Manusia Bermasalah?. Faktor-faktor tersebut adalah daripada genetik, sosialisasi, persekitaran, struktur peluang dan perbezaan budaya. Dalam persoalan ini, kami hanya akan membincangkan tentang faktor persekitaran. Faktor persekitaran merupakan antara faktor banyak mempengaruhi kehidupan manusia. Faktor persekitaran ini juga boleh dibahagikan kepada dua iaitu dari segi mikro dan makro. Perskitaran mikro melibatkan persekitaran institusi keluarga, tempat kerja dan sekolah. Manakala dari sudut makro pula merujuk kepada keadaan yang lebih meluas iaitu melibatkan hubungan persekitaran dengan teknologi, globalisasi dan media.

Dari segi mikro, institusi keluarga merupakan faktor persekitaran yang paling hampir dengan individu. Di mana, kefungsian institusi keluarga akan mempengaruhi seseorang itu untuk bertingkahlaku dengan persekitaran luar. Sebagai contoh, dengan penularan masalah sosial yang sangat membimbangkan di kalangan remaja berpunca daripada ketidakfungsian keluarga itu sendiri untuk memainkan peranan dan tanggungjawab. Secara tidak langsung, persekitaran sekolah turut mempengaruhi seseorang individu itu untuk membuat keputusan dengan lebih efisyen yang berpandukan kepada pengetahuan seterusnya dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

Dari segi makro pula, ia dilihat sebagai satu faktor yang sangat dominan dalam suatu masalah. Hal ini adalah kerana masalah ini akan melibatkan kerumitan kepada individu, masyarakat mahupun negara. Secara globalisasi, kemelesetan ekonomi telah memberi impak yang sangat besar kepada dunia amnya dan sekaligus memberi kesan negatif dalam khidupan manusia. Sebagai contoh, sektor perkilangan akan mengalami kerugian dan secara tidak langsung peluang pekerjaan menjadi sempit serta menyebabkan ada di antara mereka hilang sumber pendapatan. Faktor teknologi dan media mempunyai perkaitan yang sangat signifikan untuk seseorang itu beradaptasi dengan persekitaran sosial, politik dan ekonomi. Hal ini adalah kerana, kemajuan teknologi pada masa kini telah menyebabkan seseorang itu menyalahgunakan sumber yang ada. Sebagai contoh, dengan adanya laman sesawang seperti ruang sembang iaitu facebook, frienster, tagged, myspace dan yahoo massenger telah menyebabkan seseorang itu leka dan mudah terjebak dengan aktiviti porno. Fenomena ini semakin membimbangkan apabila ianya melibatkan golongan remaja bawah umur yang akan memberi ketagihan kepada mereka untuk melayari internet.

Secara konklusinya, pengawalan dan pengawasan daripada pihak tertentu seperti ibubapa, pihak sekolah dan kerajaan amat penting dalam membantu seseorang itu mengawal personaliti dinamik mereka yang terdiri daripada tingkahlaku, persepsi dan kognitif. Sebagaimana kata-kata daripada Imam Al-Ghazali, `Allah tidak akan mengubah nasib hambanya melainkan mereka berusaha untuk mengubahnya’. Kata-kata ini seharusnya menjadi panduan hidup seseorang yang berhadapan dengan pelbagai masalah agar mereka dapat menjalani kehidupan mereka dengan lebih baik tanpa berserah kepada takdir semata-mata.

Thursday, September 3, 2009

Kes Juvana di Malaysia

Statistik Kes Juvana mengikut negeri dari tahun 2000 hingga 2005

Negeri

2000

2001

2002

2003

2004

2005

Johor

585

568

381

558

751

1019

Kedah

315

358

342

443

334

930

Kelantan

307

366

347

432

325

280

Melaka

82

97

70

77

117

153

Negeri Sembilan

479

319

263

153

246

225

Pahang

266

383

342

290

182

232

Perak

583

529

519

326

713

644

Perlis

40

78

124

106

100

134

Pulau Pinang

512

471

351

317

317

291

Selangor

878

831

903

835

816

807

Terengganu

372

251

406

525

525

736

WP Kuala Lumpur

296

528

777

581

874

904

WP Labuan

9

16

0

10

0

0

Sabah

130

121

191

155

394

500

Sarawak

430

266

303

190

362

346

Jumlah

5284

5182

5319

4998

6056

7201


Rumusan

Pelbagai masalah sosial yang berlaku kini seiring dengan pembangunan pesat Negara, malah ianya semakin membimbangkan terutamanya apabila melibatkan golongan remaja. Peningkatan kes juvana di kalangan remaja bukanlah suatu isu yang boleh dipandang remeh memandangkan jumlah pesalah laku juvana semakin meningkat saban tahun sehingga memerlukan perhatian daripada semua pihak terutamanya ibu bapa pelajar yang terlibat dan juga masyarakat sekeliling. Pelbagai kegiatan salah laku jenayah yang dilakukan iaitu mencuri, terlibat dalam kes rogol, pelacuran, membunuh dan sebagainya. Kes kecurian motosikal dikatakan jenayah yang paling ‘popular’ dilakukan oleh golongan remaja. Daripada statistik di atas, kita boleh lihat perbezaan jumlah kes pada setiap tahun yang melibatkan semua negeri. Bermula dari tahun 2000 hingga 2001 terdapat penurunan tetapi meningkat sebanyak 137 kes dan menurun semula pada tahun 2003. Jumlah kes pada tahun 2004 pula terdapat peningkatan yang agak drastik daripada 4998 kes pada tahun 2003 telah meningkat kepada 6056. Kes seterusnya meningkat kepada 7201 kes pada tahun 2005. Masalah sosial di kalangan remaja yang semakin bertambah hari demi hari amat membimbangkan pelbagai pihak terutamanya pihak berkuasa. Ini kerana pelbagai langkah telah diambil untuk mengurangkan jumlah pesalah juvana pada setiap tahun. Antaranya dengan menguatkuasakan undang-undang serta kempen-kempen pencegahan daripada terlibat dalam kesalahan salah laku jenayah seperti dengan mengadakan ceramah di sekolah-sekolah daripada pihak-pihak berkuasa seperti polis. Tetapi, tindakan ini masih belum mencukupi sekiranya tidak ada kerjasama daripada ibu bapa seterusnya masyarakat sekeliling agar masalah ini dapat diatasi.